Pages

Wednesday 4 January 2012

CONTOH KARANGAN PILIHAN SPM:PERANAN IBU BAPA SANGAT PENTING DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

 Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam sistem pendidikan anak-anak. Ini didasarkan pada hubungan rapat mereka dengan anak-anak. Adalah tidak dapat dinafikan yang anak-anak menghabiskan sebahagian besar masa di rumah bersama-sama ibu bapa mereka. Hubungan yang  intim ini pastinya dapat menghasilkan sesuatu yang baik terutama di segi pembentukan peribadi anak-anak itu sendiri. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam menentukan sikap dan kelakuan anak-anak.

 Ibu bapa juga adalah golongan yang amat dihormati oleh kanak-kanak. Lazimnya kanak-kanak lebih menghormati ibu bapa jika di bandingkan dengan guru-guru mereka. Justeru itu anak-anak lebih mudah mematuhi apa jua arahan dan tegahan ibu bapa. Dari aspek ini jelas memperlihatkan betapa ibu bapa dapat memainkan peranannya dalam membentuk keperibadian juga nilai-nilai yang sesuai untuk disematkan di jiwa anak-anak mereka.

 Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sememangnya sangat penting di dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini. Pengaruh media massa, pengaruh budaya kuning, pengaruh rakan-rakan sebaya dan pengaruh-pengaruh anti moral cukup kuat mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Pengaruh -pengaruh ini merupakan daya tarik tarikan yang berkesan tentunya akan menjuruskan peribadi anak-anak ke arah yang tidak sihat. Oleh itu benteng yang paling ampuh untuk membendung pengaruh sedemikian hanyalah ketegasan dan sikap prihatin ibu bapa di rumah.

  Di masa kini, sekolah tidak lagi diiktiraf sebagai institusi yang berjaya dalam membentuk disiplin serta asas-asas moral yang baik terhadap diri kanak-kanak. dalam erti kata lain, sekolah gagal bertindak sebagai badan sosial yang baik. Malahan ibu bapa sendiri tidak lagi begitu yakin dengan peranan sekolah. Dengan itu, adalah perlu pendidikan anak-anak diberi penekanan yang intensif di rumah. ini cukup berasas memandangkan sekolah tidak lagi berhasil melahirkan generasi yang bermoral tinggi sebaliknya hanya berperanan sebagai institusi penyampai pelajaran sahaja.

  Guru juga berperanan dalam mendidik kanak-kanak. tetapi peranan mereka lebih berupa sampingan atau tambahan dalam memantapkan lagi nilai-nilai murni di jiwa kanak-kanak yang telah disemaikan oleh ibu bapa. Ini disebabkan guru hanya berdamping dengan kanak-kanak sewaktu menyampaikan pelajaran di sekolah. mereka juga terikat dengan tugas sebagai tenaga pengajar yang pastinya mempunyai masa yang terhad untuk mengenali peribadi para pelajar . Berbeza dengan ibu bapa, mereka mempunyai dua per tiga ruang waktu untuk bersama anak-anak. Kesempatan ini membolehkan mereka mendidik akhlak yang baik di kalangan anak-anak.

  Rumah adalah asas segala-galanya. Di sini terhimpun ahli keluarga yang di terajui oleh ibu bapa. sikap ibu bapa adalah teladan atau sempadan pada anak-anak. Oleh yang demikian ibu bapa mesti memperlihatkan tingkah laku yang baik agar menjadi ikutan anak-anak mereka. Tidak sukar untuk mendidik anak-anak terutama di usia muda mereka kerana pada hakikatnya mereka amat mudah mengikuti apa saja yang di ajar atau dilihat. justeru itulah wujudnya peribahasa "hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya". Jika ibu bapa bijak mengatur hidup mereka akan lahirlah anak-anak yang bijaksana.

  Kejadian jenayah di kalangan remaja seringkali berpunca dari keadaan keluarga yang porak-peranda. Dalam situasi yang tidak tenteram , anak-anak lazimnya akan mencari jalan keluar dengan mengikut emosi semata-mata. Mereka juga akan bertindak tanpa menggunakan akal fikiran. Akibatnya mereka mudah terdorong melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti memeras ugut, mencuri dan sebagainya. Di sinilah pentingnya peranan dengan memberikan perhatian dan kasih sayang, tentu anak-anak merasa hidup mereka damai serta berharga dan tidak sekali-kali melibatkan diri dalam kes-kes jenayah yang akan menggelapkan masa depan mereka.

  Ibu bapa turut berperanan sebagai guru semasa nak-anak berada di rumah. selain menyalurkan pengetahuan akademik, ibu bapa bertanggungjawab penuh menerapkan didikan agama dan nilai-nilai hidup yang murni di jiwa anak-anak. Dengan lain perkataan , ibu bapa mesti menseimbangkan didikan rohani dan jasmani anak-anak mereka. Berbekalkan ajaran-ajaran sendiri untuk menerajui hidup mereka bila dewasa kelak. Didikan yang sempurna juga berupaya mencegah anak-anak dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran, perjudian dan lain-lain lagi.

  Sewaktu dilahirkan, anak-anak ibarat ssehelai kain putih. Di atasnya boleh dicorakkan apa warna sekali pun. Di sini jelas ibu bapa adalah golongan utama yang memainkan peranan untuk membentuk keperibadian anak-anak. Di tangan merekalah terhimpunnya tanggungjawab  untuk membesar mengasuh dan mendidik anak-anak. Sempurna didikan yang di beri akan dewasalah anak-anak mereka menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya jika ibu bapa cuai dan mengabaikan tanggungjawab mereka, anak-anaklah yang menjadi mangsa.

 Kesimpulannya, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Hakikat ini sememangnya tidak dapat disaangkal oleh sebarang pihak. ibu bapalah orangnya yyang bertanggungjawab memberi asuhan dan didikan sempurna kepada anak-anak mereka kerana anak-anak itu merupakan rezeki dan amanah Tuhan kepada mereka. Dalam pada itu, peranan guru dan sekolah turut penting bagi melahirkan golongan terpelajar dan berdisiplin. Tetapi tanpa kerjasama ibu-bapa, adalah sukar untuk guru-guru di sekolah memainkan peranannya. jadi jelas peranan ibu bapa lebih diperlukan dalam mendidik anak-anak.

LATIHAN1
soalan SPM 2005 bahagian B: keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Karangan perbahasan‘ibu bapa berperanan membentuk akhlan remaja'

    ReplyDelete
  3. Karangan perbahasan‘ibu bapa berperanan membentuk akhlan remaja'

    ReplyDelete